Pages

Ads 468x60px

Monday 23 December 2013

GST Mencengkam 70% Rakyat Malaysia ?

Melalui jawapan lisan yang dikemukakan oleh Kementerian Kewangan, Kerajaan tidak menafikan bahawa majoriti rakyat menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax, GST). Malangnya, jawapan parlimen yang dikemukakan tidak menyatakan peratusan tahap penerimaan cukai yang membebankan ini.

Menurut penarafan kredit yang dijalankan oleh Agensi Penarafan Kredit seperti Standard & Poor's, Moody's dan Fitch Ratings, kedudukan Malaysia merudum daripada stabil kepada negatif. Laporan tersebut mendapati kadar penarafan Malaysia merudum kerana lemahnya pengurusan kewangan kita. Hutang negara meningkat dari 39.8% peratus daripada KDNK (GDP) pada tahun 2008 kepada 51.6% pada tahun 2011 dan 53.3% pada akhir tahun 2012. Bajet defisit pula meningkat dari 3.8% pada tahun 2011 kepada 4.7% pada tahun 2012.

Kesan daripada penurunan penarafan ini dapat segera dirasa apabila Ringgit Malaysia susut di paras tiga tahun terendah berbanding Dollar Amerika dan 15 tahun terendah berbanding Dollar Singapura. Mata wang yang rendah ini menyebabkan barangan import menjadi semakin mahal dan barangan eksport menjadi semakin murah yang tentunya menekan kedudukan akaun semasa negara.
Selain itu, kesan penurunan penarafan ini juga menyebabkan pasaran bursa saham dan juga nilai pasaran bon jatuh. Keadaan ini menurunkan keyakinan pelabur lalu menyekat aliran tunai dan kredit di dalam pasaran. Apabila ini berlaku, ia menambahkan bebanan kewangan awam lalu menjadikan sasaran mengurangkan defisit dan hutang awam semakin jauh. Kerajaan terpaksa memperuntukkan lebih banyak wang untuk membayar faedah dan mengurangkan perbelanjaan pembangunan yang diperlukan oleh rakyat.



Mengikut Laporan Ekonomi dan Beritasemasa.com, hutang negara pada tahun 1970 ialah RM3.5 bilion, 2001 RM121.4 bilion, 2005 RM189 bilion, 2007 RM247 bilion, 2009 RM348.6 bilion, 2010 RM390.356 bilion, 2011 RM438.467, suku kedua 2012 RM476.68 bilion, suku ketiga 2012 RM484.621, suku keempat 2012 RM505.7 bilion, dan suku pertama 2013 RM547.79 bilion menjadikan purata hutang rakyat Malaysia dalam lingkungan RM17,500 seorang.
Maka, kita perlu sedar bahawa golongan berpendapatan tinggi di Negara kita ialah sebanyak 6% manakala golongan berpendapatan rendah ialah 70%. GST tidak akan memberi banyak kesan kepada 6% rakyat Malaysia tetapi mencengkam 70% rakyat berpendapatan rendah.

Saya juga menyeru pihak kerajaan tidak lagi merujuk kepada pelaksanaan dasar Negara-negara lain yang tidak menguntungkan rakyat. Tidak semestinya Negara-negara lain melaksanakan GST, kita turut mewajibkan pelaksanaan yang sama.

Kerajaan perlu menghentikan budaya ‘denial syndrome’ dan bersikap jujur dalam melaporkan situasi ekonomi negara. Jangan mengajar rakyat menilai ekonomi negara daripada keupayaan pemberian BRIM dan tingginya nilai saham di BSKL sahaja sedangkan realitinya ekonomi negara dalam keadaan yang lemas. Kesihatan ekonomi negara perlu dilihat dari hutang negara yang kini mendekati tahap maksimum 55% daripada KDNK, defisit belanjawan dan juga nilai mata wang Ringgit yang semakin jatuh.
Sekian


sumber

Yang Miskin Alami Kesan Lebih Buruk, kata Pakar Ekonomi

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah langkah ‘regresif’ yang akan memberi kesan lebih buruk kepada kumpulan miskin dan rakyat Malaysia yang sudah pun bergelut dengan hutang, kata pakar ekonomi.

Walaupun memuji langkah kerajaan untuk memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (SST) untuk diganti dengan GST, kadar 6% yang diumum Putrajaya hari ini dalam Bajet 2013 dianggap terlalu tinggi, menurut pakar ekonomi Institut Rakyat, Azrul Azwar Ahmad Tajudin.



"Ini adalah cukai regresif kerana mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana akan terbeban dengan pengenalan cukai ini daripada segi nisbah kepada pendapatan mereka," kata Azrul kepada The Malaysian Insider.
Azrul juga tidak bersetuju dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan pengenalan kadar 6% adalah paling rendah.
"Kerajaan perlu membuat perbandingan pengenalan kadar antara negara dan bukan pada kadar semasa.
"Singapura semasa memperkenalkan GST hanya pada 3%," terang Azrul lagi.
Pandangan Azrul juga dikongsi oleh penganalisis Sosioekonomi dan Alam Sekitar (SERI), Dr Michael Lim Mah Hui kerana kadar itu adalah tidak munasabah memandangkan hutang isi rumah berada pada 80% dan orang ramai akan terpaksa berbelanja lebih daripada hasil yang diperoleh.
"Akhirnya rakyat terpaksa berbelanja lebih daripada hasil yang mereka peroleh," kata Lim kepada The Malaysian Insider.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakaria Abdul Rashid tidak menolak dengan inflasi yang meningkat secara konsisten sejak beberapa bulan lalu, pengenalan GST akan menekan rakyat.
"Indeks harga pengguna (CPI) ketika ini pada kadar 1.9% dan kita lihat sejak beberapa bulan ia naik secara konsisten.
"Kalau peningkatan ini berterusan sehinggalah pengenalan GST pada tahun 2015 nanti, ia mungkin menambah tekanan kepada orang ramai," kata Zakaria.
Indeks CPI bagi tempoh Januari hingga Ogos 2013 meningkat sebanyak 1.7% kepada 106.5 dibandingkan dengan 104.7 pada tempoh yang sama tahun lepas.
Berbanding dengan bulan yang sama tahun 2012, CPI  Ogos 2013 mencatatkan kenaikan sebanyak 1.9% daripada 105.0 kepada 107.0 dan apabila dibandingkan dengan bulan sebelumnya, CPI merekodkan peningkatan sebanyak 0.1%.
Selain itu, Putrajaya juga telah pun berdepan dengan kritikan susulan pengurangan subsidi minyak oleh kerajaan sebanyak 20 sen, malah kadar inflasi Malaysia dijangka meningkat kepada 2.3% menurut pakar ekonomi Putrajaya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Mengenai jaminan untuk memantau pelaksanaan GST di bawah Jawatankuasa Pemantauan GST, Azrul meragui akan kemampuan Putrajaya untuk menunaikan janji-janji tersebut berdasarkan kegagalan dalam pelaksanaannya sebelum ini.
"Saya meragui jawatankuasa yang ditubuhkan tersebut mempunyai kemampuan untuk menguatkuasa GST ke atas peniaga, pengeluar serta menangani inflasi.
"Sejak dahulu lagi, tren penguatkuasaan di Malaysia adalah lemah. Adakah itu membuatkan anda berfikir penguatkuasaan sekarang akan lebih baik daripada masa lepas?" soal Azrul lagi.
Sebaik pengumuman tersebut, Najib berkata cukai tunggal atau GST itu akan membolehkan kerajaan menangani kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada.
"Lebih 160 negara di dunia telah melaksanakan GST. Ini jelas menunjukkan bahawa GST terbukti sebagai satu sistem cukai yang telus, berkesan dan adil.
"Majoriti negara-negara dunia itu tidak akan melaksanakan GST jika ia memudaratkan rakyat dan negara," kata Najib.
Dalam pada itu, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini juga menegaskan pelaksanaan GST haruslah dilaksanakan secara berperingkat.
"Semuanya harus dilakukan secara berperingkat, perlahan-perlahan, bukan jumlah sepenuhnya sekali gus, bagi faedah rakyat," kata beliau kepada pemberita pada Forum CEO Yayasan Kepimpinan Perdana 2013 Jun lalu. - 26 Oktober, 2013.

Islam Amat Membenci Kemiskinan

Daripada Abu Hurairah r.a katanya: "Yang disebut orang miskin itu bukanlah peminta-peminta yang diberi orang satu atau dua buji kurma atau sesuap atau dua suap makanan. Tetapi sesungguhnya orang miskin itu ialah orang yang tahu menjaga diri (daripada meminta-minta). (riwayat Muslim)


Jika kamu mahu bacalah firman Allah SWT bermaksud: "...mereka tidak meminta-minta kepada orang ramai dengan mendesak-desak..." (al-Baqarah:273)

Setiap insan di dunia ini bercita-cita untuk menjadi kaya raya. Dalam Islam seseorang itu tidak dianggap kaya hanya dengan memiliki harta yang banyak, tetapi kaya yang sebenar, di samping ia mempunyai harta ialah apabila memiliki jiwa dan hati yang jauh lebih mulia daripada hartanya itu.

Orang yang miskin tetapi kaya maruah tidak bergantung harap dan belas kasihan daripada orang lain. Sekalipun tidak berharta ia tidak menunjukkan kelemahan dan kekurangannya itu dengan cara mendesak, meminta-minta sedekah daripada orang lain tetapi berusaha memperbaiki nasib dirinya dengan segala tenaga dan upaya, melakukan sebarang pekerjaan yang halal untuk mencari rezeki.

Islam amat membenci kemiskinan kerana ia boleh membawa kepada kekufuran. Malah bagi sebuah negara yang kaya, maju dan membangun rakyatnya harus dididik untuk menabur kebajikan, sebagai tempat si kaya berbudi, si miskin dirai dan dibantu bukan tempat di mana kesenangan hanya berkisar pada si kaya manakala si miskin terus merana.


Al-Quran ada menyebutkan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas maksudnya: "(Pemberian sedekah itu adalah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam) yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka; orang kaya-oleh orang yang mengetahui halnya kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah) apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya". (al-Baqarah:273)

Petikan daripada koleksi Senarai Hadis dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).