Pages

Ads 468x60px

Monday 23 December 2013

GST Mencengkam 70% Rakyat Malaysia ?

Melalui jawapan lisan yang dikemukakan oleh Kementerian Kewangan, Kerajaan tidak menafikan bahawa majoriti rakyat menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax, GST). Malangnya, jawapan parlimen yang dikemukakan tidak menyatakan peratusan tahap penerimaan cukai yang membebankan ini.

Menurut penarafan kredit yang dijalankan oleh Agensi Penarafan Kredit seperti Standard & Poor's, Moody's dan Fitch Ratings, kedudukan Malaysia merudum daripada stabil kepada negatif. Laporan tersebut mendapati kadar penarafan Malaysia merudum kerana lemahnya pengurusan kewangan kita. Hutang negara meningkat dari 39.8% peratus daripada KDNK (GDP) pada tahun 2008 kepada 51.6% pada tahun 2011 dan 53.3% pada akhir tahun 2012. Bajet defisit pula meningkat dari 3.8% pada tahun 2011 kepada 4.7% pada tahun 2012.

Kesan daripada penurunan penarafan ini dapat segera dirasa apabila Ringgit Malaysia susut di paras tiga tahun terendah berbanding Dollar Amerika dan 15 tahun terendah berbanding Dollar Singapura. Mata wang yang rendah ini menyebabkan barangan import menjadi semakin mahal dan barangan eksport menjadi semakin murah yang tentunya menekan kedudukan akaun semasa negara.
Selain itu, kesan penurunan penarafan ini juga menyebabkan pasaran bursa saham dan juga nilai pasaran bon jatuh. Keadaan ini menurunkan keyakinan pelabur lalu menyekat aliran tunai dan kredit di dalam pasaran. Apabila ini berlaku, ia menambahkan bebanan kewangan awam lalu menjadikan sasaran mengurangkan defisit dan hutang awam semakin jauh. Kerajaan terpaksa memperuntukkan lebih banyak wang untuk membayar faedah dan mengurangkan perbelanjaan pembangunan yang diperlukan oleh rakyat.



Mengikut Laporan Ekonomi dan Beritasemasa.com, hutang negara pada tahun 1970 ialah RM3.5 bilion, 2001 RM121.4 bilion, 2005 RM189 bilion, 2007 RM247 bilion, 2009 RM348.6 bilion, 2010 RM390.356 bilion, 2011 RM438.467, suku kedua 2012 RM476.68 bilion, suku ketiga 2012 RM484.621, suku keempat 2012 RM505.7 bilion, dan suku pertama 2013 RM547.79 bilion menjadikan purata hutang rakyat Malaysia dalam lingkungan RM17,500 seorang.
Maka, kita perlu sedar bahawa golongan berpendapatan tinggi di Negara kita ialah sebanyak 6% manakala golongan berpendapatan rendah ialah 70%. GST tidak akan memberi banyak kesan kepada 6% rakyat Malaysia tetapi mencengkam 70% rakyat berpendapatan rendah.

Saya juga menyeru pihak kerajaan tidak lagi merujuk kepada pelaksanaan dasar Negara-negara lain yang tidak menguntungkan rakyat. Tidak semestinya Negara-negara lain melaksanakan GST, kita turut mewajibkan pelaksanaan yang sama.

Kerajaan perlu menghentikan budaya ‘denial syndrome’ dan bersikap jujur dalam melaporkan situasi ekonomi negara. Jangan mengajar rakyat menilai ekonomi negara daripada keupayaan pemberian BRIM dan tingginya nilai saham di BSKL sahaja sedangkan realitinya ekonomi negara dalam keadaan yang lemas. Kesihatan ekonomi negara perlu dilihat dari hutang negara yang kini mendekati tahap maksimum 55% daripada KDNK, defisit belanjawan dan juga nilai mata wang Ringgit yang semakin jatuh.
Sekian


sumber

No comments:

Post a Comment